Friday, November 5, 2010

Demokrasi PKR: Niat baik tidak semestinya bawa kebaikan

Saya memerhatikan dengan penuh teliti apa yang sedang cuba dilakukan PKR. Apa yang saya maksudkan ialah percubaan PKR untuk membawa dan merayakan demokrasi kepada semua ahli-ahlinya melalui konsep ‘satu ahli satu undi’.
Sekali imbas kelihatan ia amat radikal. Radikal dalam konteks kewujudan demokrasi di Malaysia. Untuk pertama kalinya ahli parti PKR boleh memilih ketua dari ranting, cabang hingga ke pucuk pimpinan pusat. Memang radikal.
Syabas! Tahniah! Kerana memiliki niat untuk merayakan demokrasi dalam parti. Syabas kerana memiliki niat untuk memperkasakan ahli-ahli dengan hak pengundian mereka.
Tetapi dalam hidup ini, niat yang baik tidak semestinya membawa kebaikan. Niat sahaja tidak mencukupi. Obama juga berniat baik apabila dia bersetuju untuk menambahkan lagi bala tentera Amerika di Afghanistan. Najib Razak juga berniat baik apabila dia menikahi seorang janda.
Niat bukan hakikat. Niat tidak memiliki apa-apa makna. Berniat hendak pergi ke Mekah untuk menunaikan haji, bunyinya baik dan gah. Tetapi kalau tidak menyimpan duit atau memohon pasport antarabangsa – niat ini tidak memiliki apa-apa makna.
Masalah yang dihadapi oleh PKR ialah pucuk pimpianannya cuba membawa demokrasi dengan membezakan diri mereka dengan demokrasi yang diamalkan oleh musuh politik mereka. Ini adalah kesilapan besar. Mereka ingin ‘meng-ada-kan’ atau mencipta demokrasi.
Kewujudan demokrasi bukan melalui perbandingan dengan musuh politik. Demokrasi wujud bukan kerana adanya fasisme. Demokrasi wujud bukan kerana adanya diktator. Sistem satu ahli satu undi dalam PKR seharusnya diwujudkan bukan kerana United Malays National Organisation menjalankan sistem undi perwakilan dalam pemilihan pimpinan mereka.
Jika kerana ingin berbeza dari United Malay National Organisation maka itu hanya reaksi. Demokrasi bukan reaksi. Kalau demokrasi sebagai langkah reaksi maka ini bukan demokrasi tapi ‘reaksionari’. Demokrasi adalah wadah yang diajukan di mana idea, pandangan akan didebat dan dicanai secara terbuka.
Jadi parti taukeh
Demokrasi bercita-cita untuk mewujudkan warga yang memiliki ketrampilan intelek dan keilmuan untuk berfikir, berhitung dan mengambil tindakan serta keputusan secara rasional setelah menilai semua fakta.
Sayugia diingatkan pemilihan satu undi untuk satu ahli ini belum menjamin kelahiran demokrasi. Bunyinya memang lunak, satu ahli dapat memilih dari bawah hingga ke atas. Hebat!
Apakah ini hakikat atau hanya satu ilusi?
Pada hemat saya, amat jelas kesongsangan pemahaman tentang apa itu demokrasi. Pengundian ini hanyalah satu manifestasi dari jalur demokrasi. Kalau hak mengundi wujud dalam sesebuah persatuan atau kumpulan bukan bermakna persatuan itu mengamalkan demokrasi.

No comments:

Post a Comment