Tuesday, October 12, 2010

PAS atau UMNO?

Mursyidul Am Pas Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan agar orang Melayu hanya duduk di bawah satu parti sahaja dan parti tersebut hendaklah yang berlandaskan Islam. Ini akan menyelesaikan masalah perpecahan yang dialami kaum Melayu.

Pas asalnya merupakan salah sebuah sayap daripada parti Umno di bawah Dewan Ulama Umno yang akhirnya berpecah menjadi Parti PAS. Ini adalah kerana perselisihan pendapat terhadap hala tuju perjuangan samada bangsa dahulu atau agama dahulu.

Ketika zaman awal kemerdekaan dulu, mungkin tidak timbul perbezaan yang ketara jika bangsa Melayu penjadi asas perjuangan kerana apabila dinamakan Melayu maka sudah pasti ianya Islam maka apabila seseorang itu mahu memartabatkan Melayu dan memperkasakan bangsa Melayu adalah atas dasar Melayu itu merupakan bangsa yang memegang teraju agama Islam di bumi Malaya ini.

Ketika zaman itu, bangsa Melayulah yang menerajui agama Islam justeru itu bagaimana Islam dapat dikembangkan dan diperjuangkan jika bangsa yang menganut agama Islam adalah bangsa yang lemah, berpecah, jahil dan malas. Itulah dasar yang dipegang oleh kebanyakan orang melayu yang cintakan Islam yang memilih Umno sebagai landasan perjuangan mereka.

Namun nampaknya keutamaan kepada bangsa semakin hari semakin menguasai perjuangan Umno sebagaimana Umno lebih mengutamakan penubuhan Universiti Kebangsaan daripada penubuhan Universiti Islam.

Akibatnya salah satu institusi ilmu yang berlandaskan Islam yang lebih awal daripada itu iaitu Kolej Islam Malaya di Klang telah direndahkan martabatnya dengan diserap hanya sebagai salah satu fakulti di Universiti kebangsaan. Ini adalah salah satu contoh awal yang menjadi petunjuk kepada kedudukan institusi agama Islam di mata para pejuang Umno ketika itu. 

Walaubagaimanapun pujian perlu diberi kepada peneraju Biro Agama Umno pada waktu itu yang berterusan melobi sehingga wujudnya Universiti Islam di negara kita. Cuba bayangkan jika mereka berputus asa dan meninggalkan Umno hanyut dengan perjuangan bangsanya, sudah tentu semakin jauh Islam dipinggirkan.

Hasil daripada para pejuang itulah maka sedikit demi sedikit martabat Islam di naikkan dengan menggunakan Umno sebagai landasan perjuangan yang terbukti lebih agresif dari segi pembangunan material serta lebih kedepan dalam hal ehwal pengurusan.

Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan seruan Mursyidul Am Pas agar melayu berada hanya dalam satu parti yang berlandaskan Islam bagi menyelesaikan masalah perpecahan. Islam bukan hanya untuk Melayu, dah ramai orang cina serta india dan lain-lain bangsa yang beragama Islam di Malaysia kini dan Islam boleh dijadikan tempat berteduh oleh semua makhluk termasuklah segala binatang dan tumbuhan, apatah lagi manusia.

Cuma masalahnya ialah siapakah atau parti manakah yang lebih terbukti menjadi Islam sebagai pegangannya dari segi pengakuan dan juga amalan. Tidak cukup jika mengaku kita parti islam jika amalan kita tidak menggambarkan ciri-ciri Islam.

Begitu juga tidak kena jika kita tidak mengaku kita parti islam walaupun segala tindak tanduk kita mencerminkan akhlak serta ciri-ciri Islam.

Begitulah konsep syahadah yang kita belajar sejak dibangku sekolah...semua orang tahu tentang ini. Pengakuan dengan lidah dan beriktiqad dalam hati mesti diserta dengan amalan untuk melengkapkan pusingannya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment